19 Disember 2008

K4T PASTI N.Sembilan semakin berkembang

Program Pendidikan Kelas 4 Tahun (K4T – Pelajar berumur 4 tahun) di PASTI Al Islamiyyah , Sikamat , Seremban yang diperkenalkan pada tahun 2008 semakin mendapat sambutan ibu bapa.

Pertambahan pelajar untuk K4T yang meningkat untuk sesi pengajian 2009 ini melibatkan penambahan penyewaan blok bangunan untuk kelas ini.

Sehubungan dengan itu pihak pengurusan PASTI Al Islamiyyah mengharapkan kerjasama daripada mereka yang berkemampuan untuk menjayakan program ini dengan menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan , alat bantuan mengajar dan sebagainya.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan kepada Sdr Zulkarnain selaku Pengurus PASTI Al Islamiyyah dengan menghubungi talian 019-3266387 , 016-2097990

02 Disember 2008

NurAinul Mardiyyah dan Mohd Zulhusni Pelajar Terbaik Negeri 2008

Adik NurAinul Mardiyyah bt Mohamad Hakki, pelajar 5 Tahun PASTI Al-Islamiyyah, Desa Beringin, Seremban dan Adik Muhammad Zulhusni bin Radzi, pelajar 6 Tahun PASTI Fatimah AzZahrah telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik PASTI seluruh Negeri Sembilan bagi sesi 2008 baru-baru ini.

Majlis penyampaian anugerah pelajar-pelajar cemerlang PASTI seluruh Negeri Sembilan itu telah diadakan di Dewan Chedang, Taman Bukit Chedang pada 15 November yang lalu.

Majlis Konvokesyen Kecemerlangan Pelajar PASTI Negeri Sembilan yang telah dirasmikan oleh YB Tn Hj Taufek Abd Ghani selaku Penasihat PASTI Negeri itu telah berlangsung dengan lancar dan selesa.

Pada majlis yang sama, PASTI Kawasan Rembau telah diberikan anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik, manakala Ustaz Mohd Romzi dari PASTI Kawasan Rasah telah diisytihar penerima anugerah Khidmat Cemerlang Pengerusi Kawasan. Bagi anugerah Kecemerlangan Ko-kurikulum pelajar pula, penerimanya adalah Adik Arif Azhad b Ahmad Kimon dari PASTI Kawasan Port Dickson.

Kemuncak acara majlis adalah anugerah 'Student of The Year 2008' yang diberikan kepada Adik Muhammad Zulhusni b Radzi dari PASTI Kawasan Kuala Pilah.

Terimakasih kepada pihak Kolej yang membenarkan dewan digunakan; terimakasih juga kepada pihak Saffron Integrated Marketing, Amal Bestari Corp (M) Sdn Bhd serta Fateh Media yang sudi menjadi penaja majlis tersebut, juga kepada Unit Amal Negeri yang bertugas mempastikan majlis dapat berjalan lancar.

Akhir sekali, Pihak PASTI Negeri ingin mengucapkan tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga para pelajar lepasan PASTI akan terus cemerlang dunia dan akhirat walaupun setelah 'meninggalkan' alam pra-sekolah mereka.